|
GAMBAR RAJAH LALAT
FIRMAN ALLAH S.W.T
|
|
SURAH AL-HAJ : 73
Perumpamaan lalat dalam maksud ayat diatas adalah sebagai peringatan kepada manusia mengenai kekuasaan-Nya dalam mencipta sesuatu dan kepada-Nya kita wajib patuh dan percaya. Tuhan-tuhan yang disembah selain daripada Allah tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mencipta sesuatu. berhala-berhala yang dibentuk atau dibina oleh manusia kemudian disembah sebagai Tuhan, bukan sahaja tidak mampu mencipta lalat, tetapi juga penyembah dan pencipta berhala itu sendiri tidak mampu berbuat demikian. Ini menjelaskan betapa lemah dan kecilnya manusia. Hingga kini bukan sahaj manusia belum mampu mencipta sesuatu hayat malah tidak akan mungkin untuk dapat menciptanya. Hakikatnya, hendaklah manusia menginsafi kelemahan dirinya dan tunduk kepada Kewujudan dan Kekuasaan Allah Pencipta sekalian alam.
Allah jua yang Maha Mengetahui kenapa serangga dari jenis lalat yang dipilih untuk perumpamaan di dalam ayat yang tersebut. Jika sekadar untuk memberikan suatu contoh meminta manusia menciptakan sesuatu, Allah boleh sahaja mengungkapkan atau memberikan contoh dengan serangga-serangga lain. Tentulah pengungkapan serangga sebagai perumpamaan ini mempunyai maksud-maksud lain yang harus difikirkan. Kenapa lalat dipilih?
Lalat merupakan serangga yang umum dan mempunyai taburan yang meluas di seluruh pelosok muka bumi ini. Maka, ada wajarnya dipilih sesuatu yang umum sebagai contoh.
Seperkara lagi, bahawa pemilihan lalat dalam surah al-Haj mempunyai implikasi yang besar. Pada musim haji, kebersihan adalah penting untuk menjaga kesihatan. Kehadiran lalat yang tidak terkawal dapat menimbulkan masalah kesihatan penyakit berjangkit seperti taun. Dengan penjagaan kesihatan yang baik membolehkan seseorang melakukan ibadat haji dengan sempurna.
Serangga dari jenis lalat mempunyai kepentingan kesihatan yang besar bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada haiwan ternak. Penerokaan ilmu pengetahuan mengenai lalat merupakan ikhtiar manusia untuk menghindari dan mengatasi kemudaratan yang dapat ditimbulkan oleh serangga ini.
HADIS NABI S.A.W MENGENAI LALAT DAN TAUN.
Hubungan lalat sebagai agen yang terlibat dengan penyakit ada dijelaskan daripada hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
:' Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda: 'Apabila jatuh lalat ke dalam minuman kamu maka hendaklah ditenggelamkan lalat tersebut kemudian dibuangkan dia kerana pada salah satu sayapnya membawa penyakit dan pada yang satu lagi mengandungi penawar'. -diriwayatkan oleh Bukhari, Abu Daud dan lain-lain.
Hadis di atas terbuka sebagai suatu cabaran bagi para penyelidik Islam untuk menganalisis komponen kimia yang terkandung di dalam sayap masing-masing kiri dan kanan lalat bagi membongkar rahsia atau maksud hadis berkenaan. Alat-alat yang sangat peka diperlukan bagi mengesan kehadiran dan mengenal pasti komponen-komponen kimia berkenaan.
Langkah pengawalan penyakit taun seperti yang kita kenal sebagai karantina telah pun diamalkan sejak zaman Nabi S.A.W berdasarkan maksud hadis-hadis berikut:
:Daripada Amir bin Sa ad bin Abi Waqqash, beliau mendengar bapanya r.a bertanya kepada Usamah bin Zaid katanya : Apa yang engkau dengar daripada Rasulullah S.A.W mengenai taun? Jawab Usamah, Rasulullah S.A.W. bersabda : 'Taun adalah sejenis azab yang diturunkan Allah kepada Bani Israel atau kepada umat yang sebelum kamu. Maka apabila kamu mendengar penyakit taun berjangkit di suatu negeri, janganlah kamu datang ke negeri itu. Dan apabila penyakit itu berjangkit di negeri tempat kamu berada, janganlah kamu keluar dari negeri itu untuk melarikan diri daripadanya.' -Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Dari Aisyah r.a isteri Nabi S.A.W katanya: Saya bertanya kepada Rasulullah mengenai penyakit taun. Baginda lalu menceritakan kepada saya: Penyakit itu adalah seksa yang diturunkan Tuhan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Tuhan menjadikan rahmat bagi orang yang beriman. Seseorang yang ketika berjangkit penyakit itu, tetap tinggal dalam negerinya dengan sabar dan tulus kerana Allah, yakin bahawa tiada akan menimpanya selain apa yang telah ditentukan Tuhan baginya. Maka untuk orang itu pahala seperti pahala orang mati syahid.' -Diriwayatkan oleh Bukhari
Penemuan berkaitan lalat dengan kesihatan manusia baru diketahui akhir abad ke-19 dan diawal abad ke-20. Pada tahun 1869, Raimbert telah membuktikan bahawa lalat merupakan agen pemindahan bakteria, Bacillus Anthracis, penyebab penyakit antaraks. Pada tahun 1895, Bruce telah membuktikan bahawa penyakit tidur (nagana) pada haiwan ternak di Afrika adalah disebabkan oleh sejenis tripanosoma yang dibawa oleh lalat tsetse, Glossina Morsitans. Kemudian pada tahun 1903 Bruce dan Nabarro, telah membuktikan bahawa satu lagi spesies lalat teste, Glossina Palpalis, yang merupakan vektor utama bagi penyakit tidur pada manusia dan haiwan ternak.
Pada tahun 1913, Mitzmain telah membuktikan bahawa penyakit surra pada kerbau di Filipina disebabkan oleh sejenis protozoa, Trypanosoma Evansi. Serangga yang menjadi pembawa protozoa tersebut ialah sejenis lalat kuda, Tabanus Striatus. Selanjutnya pada tahun1922, Connals telah membuktikan bahawa dua spesies lalat rusa (Chysops Silacea dan Chrysops Discalis) merupakan vektor penyakit loaisis.
|
|
GAMBAR : TABANUS STRIATUS |
|
GAMBAR: TRYPANOSOMA EVANSI
|
HIKMAH PENCIPTAAN LALAT.
Lalat merupakan seekor binatang yang dianggap menjijikkan bahkan para doktor juga mengatakan lalat adalah pembawa virus dan penyakit tetapi pernahkah anda terfikir hikmah disebalik penciptaannya?
- LALAT DAN PENGAWALAN BIOLOGI
-Pengawalan biologi ialah suatu kaedah pengawalan makhluk perosak dengan memanfaatkan musuh-musuh semulajadinya. Dengan menggunakan kaedah ini sesuatu jenis serangga perosak dapat dikawal oleh pemangsaan daripada serangga yang akan memakannya iaitu sama ada serangga pemangsa atau parasit.
Di dalam persekitaran semulajadi terdapat banyak lalat hidup sebagai pemangsa dan parasit terhadap serangga lain. Lalat-lalat pemangsa dan parasit ini merupakan agen pengatur yang mengekalkan keseimbangan populasi serangga yang menjadi mangsanya. Meningkatkan populasi sesuatu serangga yang menjadi makanan kepada lalat pemangsa dan parasit ini akan diikuti dengan meningkatnya populasi lalat-lalat pemangsa dan parasit berkenaan serta berlaku juga keadaan sebaliknya.
Penggunaan lalat parasit dari Malaysia untuk mengawal beluncas perosak kelapa di Pulau Fiji, Pasifik adalah satu contoh klasik mengenai kejayaan kaedah pengawalan biologi. Lalat parasit tersebut ialah Bessa Remota telah berjaya digunakan untuk mengawal beluncas rama-rama (Levuana Irridescens) perosak ke;apa di Pulau Fiji. Lalat ini telah diketemukan pada tahun 1925 di Batu Gajah, Perak, di mana berenga lalat ini hidup di dalam tubuh beluncas rama-rama perosak kelapa tempatan, Artona Catoxantha. Pihak Kerajaan Fiji telah membawa masuk lalat parasit ini untuk dibiakkan sebelum dilepaskan dengan banyak di ladang-ladang kelapa. Kejayaan lalat Bessa Remota mengawal beluncas perosak kelapa pada tahun 1929 telah menyelamatkan industri kelapa kering Pulau Fiji dari kehancuran.
-Beberapa jenis lalat mendapatkan sumber makanannya daripada manisan bunga tumbuhan. Dalam aktiviti ini berlaku proses pendebungaan. Perkara ini dapat diperhatikan sendiri bagi mereka yang ada menanam pokok mempelam. Pada musim mempelam berbunga ia banyak dikunjungi oleh pelbagai jenis serangga, termasuklah daripada jenis lalat, seperti lalat biru, lalat daging, dan lalat rumah.
- LALAT DAN PENGURAIAN BANGKAI HAIWAN SERTA TUMBUHAN
Bangkai-bangkai haiwan dan beberapa tumbuhan herba yang telah mati lazimnya mengalami penguraian oleh beberapa jenis lalat. Sebenarnya dalam proses penguraian ini jasad berkenaan menjadi makanan kepada berenga atau bentuk belum dewasa lalat. Sekiranya tidak ada bantuan lalat pengurai ini bangkai haiwan atau tumbuhan berkenaan akan tinggal kering dan menimbus di persekitaran. Meskipun kita melihat disini lalat itu kotor tetapi peranan yang dilakukannya sangat penting.
- LALAT SUMBER MAKANAN HAIWAN
-Merupakan makanan beberapa haiwan seperti labah-labah, katak, mengkarung dan burung.
-Genetik atau ilmu kebakaan diasaskan daripada sumbangan penyelidikan terhadap sejenis lalat cuka, iaitu Drosophila Melanogaster. Lalat ini mempunyai keistimewaan kerana dalam kelenjar air liurnya terdapat kromosom raksasa yang mempunyai saiz 200 kali lebih besar daripada kromosom biasa. Kromosom raksasa ini dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop cahaya. Morgan, seorang ahli genetik Amerika Syarikat telah banyak melakukan penyelidikan dan memberikan sumbangan dalam pengetahuan genetik.
Lalat cuka merupakan bahan pengajaran yang lazimnya digunakan dalam pengajaran genetik, sama ada lalat Drosophila jenis liar atau jenis mutan.
No comments:
Post a Comment